Rabu, 16 Maret 2011

PERKEMBANGAN NASYID
1. PENDAHULUAN

Nasyid merupakan cabang seni yang bersendikan Islam, kerana ia mengandungi lirik yang merangkumi pesanan, ingatan,kisah para nabi , seruan dakwah Islamiah dan meniupkan semangat dalam proses pembangunan bangsa dan negara.

Perkembangan nasyid yang terus mendapat tempat dihati masyarakat Islam Nusantara telah diasaskan oleh lembaran sejarah yang terpahat usaha padu pelbagai pihak dalam memartabatkan nasyid sebagai wadah seni yang mampu membawa misi dakwah Islamiah ke tengah masyarakat dalam memenuhi tuntutan fitrah berhibur dalam diri manusia.

Jika diteliti perkembangan semasa, dunia hari ini diwarnai dengan hingar-bingar alunan lagu dan irama muzik serba glamour, ini menyebabkan industri nasyid melalui satu persaingan yang sengit untuk terus bertahan sebagai wadah penyebaran dakwah.


Kenyataan ini menuntut agar seniman nasyid terus bijaksana dalam meniti perjuangan nasyid tanpa mengabaikan garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak dengan mengambilkira sejarah perkembangan nasyid di Nusantara dan sumbangannya sebagai medium penyebaran dakwah.
2. DEFINISI NASYID

Nasyid merupakan nyayian yang biasanya bercorak keagamaan Islam dan mengandungi kata-kata nasihat, kisah para nabi, memuji Allah dan yang seumpamanya.[2]

Menurut Kamus Dewan ( hal: 923) Nasyid ialah lagu yang biasanya dinyayikan secara kumpulan yang mengandungi seni kata yang berunsurkan Islam.

Hj Jalidar Abdul Rahim menjelaskan masyarakat Arab pada zaman dahulu melagukan syair yang bertemakan Munajat dan Selawat dan kerap memilih lagu Arab Misri. Sumber maqam lagu Arab yang digunakan untuk membaca ayat suci Al-Quran dan nyayian lain berunsurkan Islam yang terdengar melalui nasyid dan qasidah sekarang kebanyakkanya datang daripada aliran Arab Iraqi,Hijazi dan Misri disamping tujuh lagi maqam iaitu Banjakka, Hijaz, Musyawaraq, Ras, Jaharka, Sika dan Dukah.[3]

Istilah nasyid menurut masyarakat Indonesia , adalah ganti dari kata qasidah sebagaimana yang dimaklumi di daerah Sumatera dan Kalimantan. Bahkan di daerah-daerah lain ada yang menyebutnya sebagai Tagoni, Samrahan dan sebagainya. Namun jika ditinjau dari bahasa Arab nasyid berasal dari kata nasyada yang bermaksud membangkitkan, memberikan semangat, meneriakkan dan lain-lain.[4]

Sesungguhnya istilah Nasyid telah muncul dalam kebudayaan Arab Islam sejak abad 3H/9M dan terus berkembang dari masa ke semasa.[5]

3. SEJARAH PERKEMBANGAN NASYID DI NUSANTARA

Kedatangan Agama Islam ke Nusantara membawa bersama Seni dan Kebudayaan Arab yang menarik hati masyarakat Islam khususnya pada keindahan lagu-lagu Arab yang didengar dan diterima melalui bacaan Al-Quran dan alunan lagu Qasidah Tawasyih, Ibtihal [6] dan nasyid serta selawat dari nuzum syair marhaban dalam memuji dan mengucapkan selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Lagu Arab tersebut dibawa secara langsung oleh pendakwah Arab yang datang ke Nusantara untuk mengembangkan Islam . Masyarakat Islam di Tanah Melayu telah menjadikan nasyid Tawasyih[7], Qasidah Majrur[8] dan bacaan Rawi berzanji dan Marhaban sebagai satu kesenian dalam setiap Majlis Perkahwinan, Majlis Khatam al-Quran, Majlis Berkhatan , Majlis Menyambut Kelahiran Bayi dan Majlis Menyambut Maulidur Rasul S.A.W.[9]

3.1 SEJARAH PERKEMBANGAN NASYID DI INDONESIA.

Di Indonesia Qasidah Rebana telah mula berkembang di sekitar Pulau Jawa khususnya di Jakarta dan sekitarnya selepas tumbangnnya Parti Komunis Indonesia sekitar tahun 1966/1967, dikatakan hampir seluruh lingkungan wilayah dan kampung mempunyai kumpulan Qasidah Rebana. Pada kebiasaanya Qasidah Rebana hanya diiringi dengan alat rebana dan tamborin.

Pada awal tahun 1970-an Qasidah Gambus mula berkembang seiring dengan Qasidah Rebana. Qasidah Gambus diiringi dengan alat muzik yang biasanya terdiri dari Gambus, Biola, Seruling, Gendang, Tabla dan sebagainya dan biasanya mereka membawakan lagu-lagu dakwah atau lagu yang bertemakan keagamaan, dengan melodi dan irama ala Timur Tengah. Pada masa yang sama juga wujud Orkes Gambus yang biasanya membawakan lagu-lagu asli Timur Tengah. [10]

Diantara Orkes Gambus yang amat terkenal pada awal tahun 70- an ialah Orkes Gambus El-Surayya di bawah pimpinan Almarhum Prof Ahmad Baqi yang terus mengembangkan sayap seni nasyid di sekitar Indonesia. Allahyarham Prof Ahmad Baqi yang dilahirkan pada tahun 1920 adalah tokoh terkenal yang membangunkan seni nasyid bukan sahaja di Indonesia tetapi di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam. [11]

Orkes Gambus El-Suraya yang amat terkenal dengan lagu Selimut Putih yang telah dinyayikan oleh Ibu Atikah Rahman [12] terus mendapat tempat hingga ke hari ini kerana liriknya yang amat menyentuh hati dan mampu menitiskan airmata bagi yang mengamatinya.

Sekitar tahun 70-an juga wujudnya kumpulan Qasidah Pop, namun ia hanya diminati oleh golongan elit. Sementara pada pertengahan tahun 80-an perkembangan Qasidah Indonesia turut menyaksikan Qasidah Dangdut yang telah diperkenalkan oleh kumpulan Nasidaria dari Samarang dan pada tahun 1990 Qasidah Rebana Plus turut menyajikan lagu-lagu nasyid dengan diiringi alat muzik seperti gitar, piano dan sebagainya disamping wujud juga Qasidah Salawatan iaitu lagu yang berintikan selawat yang diiringi dengan instrumen muzik yang lembut seperti nasyid yang dipopularkan oleh Hadad Alawi dan Sulis.

Muzik dan Irama nasyid terus berkembang di Indonesia dengan wujudnya Festivel Nasyid Indonesia (FNI), Festivel Nasyid Nusantara (FNN) dan gerakkan kebangkitan nasyid Indonesia yang digiatkan oleh Fatahillah Manajemen Indonesia(FMI)[13].

3.2 SEJARAH PERKEMBANGAN NASYID DI MALAYSIA.

Malaysia turut menerima perkembangan nasyid secara serius pada sekitar tahun 70-80 an. Sehingga berjaya melahirkan kumpulan nasyid yang merakamkan album seperti kumpulan nasyid Al-Jawaher yang terkenal dengan nasyid seperti Assalamuaikum, Kembara di Tanah Gersang, Mohon Pada-Nya dan sujud pada-Nya. Selain itu terdapat juga artis-artis yang merakamkan lagu nasyid secara solo seperti Ahmadi Hassan.

Negeri Sabah turut melalui perkembangan yang sama, di mana penghijrahan pendakwah dari Medan Indonesia yang berkhidmat dengan Majlis Agama Islam Sabah iaitu Tuan Haji Umar Sidik telah menubuhkan kumpulan nasyid Gelora Dakwah pada tahun 1975 dan murid Allahyarham Prof Ahmad Baqi iaitu Tuan Haji Jalidar bin Abd Rahim telah menubuhkan kumpulan nasyid Noor El-Kawakib pada tahun 1978 yang telah berjaya merakamkan kaset dan piring hitam. Diantara lagu yang dimuatkan dalam album pertama kumpulan ini ialah Kekalkan Islam di bumi bertuah, Nabi Akhir zaman, Bersatu Baru Islam Sempurna dan sebagainya. [14]

Perkembangan nasyid turut diwarnai dengan penganjuran pelbagai pertandingan nasyid sekitar tahun 1980-an, di mana RTM turut mengendalikan pertandingan Nasyid Peringkat Kebangsaan. Sementara pada tahun 1991 Festivel Nasyid Kebangsaan telah diurusetiakan oleh Bahagian Hal-Ehwal Islam (BHEAIS) Jabatan Perdana Menteri yang kini di kenali sebagai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). JAKIM telah mengurusetiakan Festivel ini (1991-2006) sebanyak 17 kali disamping menguruskan Festivel nasyid peringkat MABIMS (ASEAN) yang diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1996. Kategori nasyid yang dipertandingkan pada masa ini secara umumnya di bahagikan kepada kategori tradisi dan moden.

Pada tahun 1997, kemunculan kumpulan nasyid kontemporari pertama di Malaysia iaitu kumpulan Raihan merupakan perintis kepada era kegemilangan nasyid kontemporari di Malaysia. Seiring itu, muncul pula kumpulan nasyid Rabbani, Hijjaz dan Saujana dengan bentuk hiburan yang bermesejkan ketuhanan serta menerapkan nilai-nilai Islam yang murni bertujuan mendidik masyarakat.

Hingga kini irama nasyid terus berkembang subur di Malaysia dengan kelahiran ramai anak-anak muda yang terus memperjuangkan irama nasyid sebagai medium dakwah yang turut diterima oleh masyarakat Brunei dan Singapura.

3.3 SEJARAH PERKEMBANGAN NASYID DI BRUNEI DARUSSALAM.

Sejarah perkembangan nasyid di negara Brunei Darussalam mula wujud pada tahun 80-an , menurut Hjh Normin Haji Mahali, Bahagian Perhubungan dan Kemajuan Islam, Kementerian Hal-Ehwal Agama Negara Brunei. Perkembangan nasyid di negara Brunei banyak tertumpu di sekolah- sekolah dan maktab sekitar negara Brunei.

Setakat ini Kementerian Hal-Ehwal Agama Negara Brunei tidak pernah mengendalikan Festivel Nasyid peringkat negara. Pertandingan nasyid lebih banyak diadakan diperingkat sekolah dan institusi pendidikan disamping peranan Radio Televisyen Brunei (RTB) untuk menyajikan lagu nasyid kepada masyarakat Brunei Darussalam .[15]

4. SUMBANGAN NASYID SEBAGAI MEDIUM DAKWAH

Kecenderungan masyarakat pada hari ini yang gemarkan kepada hiburan perlu dipandu dengan pengisian yang betul dan tepat dalam mengharungi arus hedonism yang terus berleluasa.

Meneliti perkara ini, nasyid dilihat amat signifikan berperanan sebagai hiburan alternatif yang juga boleh mengajak manusia kepada kebaikan. Prof Dr Ismail al-Faruqi mengatakan, tidak ramai umat Islam yang menyedari akan betapa pentingnya seni suara dan muzik sebagai suatu bentuk seni yang mengungkapkan pandangan alam (world view) Islam dan tentang kemesraan yang terdapat diantara seni tampak dan seni dengar (visual and aural arts) di dalam kebudayaan Islam. Begitu juga tidak ramai yang sedar tentang pentingnya seni dengar digunakan untuk tujuan-tujuan sosial dan dakwah.

Sehubungan dengan itu nasyid yang merupakan salah satu cabang ilmu handasat al-Aswat (seni suara) dan seni dengar yang telah berkembang dengan pesatnya di Nusantara telah menjadi medium dakwah khususnya dalam penghasilan lirik lagu yang mengandungi nilai dalam mendidik masyarakat agar memperteguhkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah, ketaatan kepada Rasulullah S.A.W, menginsafi kebesaran Allah, mengajak manusia menjadikan Sunnah sebagai panduan dan meletakkan kebenaran sebagai pedoman serta kebaikan dan keindahan wasilah dalam mencapai matlamat keredhaan Allah S.W.T.

Nasyid juga telah menjadi medium melestarikan dakwah secara berhikmah, ini selaras dengan maksud Firman Allah dalam Surah an-Nahl ayat 135:

“ Serulah kepada jalan Tuhan-Mu dengan penuh hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah dengan cara yang baik.”

Hikmah boleh ditafsirkan dengan kata-kata yang lembut, tidak dilakukan secara paksaan dan tidak terkecuali daripada menggunakan kata-kata berseni dan lagu yang meruntun jiwa, yang boleh memberikan kesan mendalam kepada jiwa manusia. Malahan, bantahan dan kritikan sekalipun boleh disampaikan dalam bentuk seni, ini amat sinonim dengan kehidupan masyarakat Melayu yang turut menghasilkan syair dan pantun bagi tujuan kritikan tajam.

Nasyid juga turut mengajak manusia untuk berzikir kepada Allah S.W.T di mana unsur-unsur zikir dan doa turut menghiasi seni nasyid, disamping dijadikan sebagai kaedah yang boleh membantu memudahkan hafalan Asmaul Husna, nama-nama nabi, sifat-sifat Allah dan Rasul-Nya, dan nama-nama surah yang terdapat dalam Al-Quran. Seni ini juga telah dijadikan sebagai alat bantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Nasyid dan Marhaban, telah menjadi aktiviti alternatif sebahagian remaja Islam masa kini, khususnya dalam mengimarahkan masjid dan surau serta mengisi pelbagai aktiviti hidup dengan perkara yang bermanfaat. Ini dapatkan mengelakkan remaja dari terjebak ke dalam aktiviti gejala sosial yang kian berleluasa.

Nasyid juga telah menjadi medium penyebaran dakwah dalam dunia penyiaran, di mana lagu nasyid telah menjadi salah satu bentuk seni hiburan yang disiarkan di kaca televisyen dan radio, Rancangan Nasyid Minggu (NMI) ini yang diterbitkan oleh Bahagian Media Elektronik dan Penyiaran JAKIM sejak Mac 2004 menjadi satu pendekatan kepada muda-mudi untuk memilih hiburan yang lebih baik dan bermanfaat. Selain daripada hiburan, rancangan ini juga banyak memaparkan petikan ayat-ayat al-Quran dan Hadith sesuai dengan tema siaran. [16]

Carta Nasyid Radio IKIM juga turut menjadi siaran hiburan pilihan sebahagian remaja Islam masakini.

Konsert yang berintikan seni Islam seperti Nasyid juga telah dijadikan sebagai ruang kerja amal dan dakwah secara terbuka kepada semua golongan lapisan masyarakat, usaha yang dilakukan oleh Persatuan Penggiat Seni Nasyid Malaysia (PNI) menerusi konsert “ Thousand Faces One Faith” yang membawa maksud “ Seribu Wajah Satu Aqidah” akan menceritakan kehidupan warga Islam yang tergolong dari pelbagai keturunan, bangsa dan budaya.

Konsert yang akan diadakan pada 12 Ogos 2006 ini mempunyai tentatif yang amat menarik sebagai medium dakwah. Konsert ini akan dimulakan dengan acara solat maghrib secara berjemaah oleh semua penonton dan akan diteruskan dengan Nasyid Asmaul Husna secara koir bersama penonton disamping itu turut disajikan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan persembahan video yang menerapkan nilai akidah dan diiringi persembahan nasyid yang menyentuh jiwa.[17]

Perjalanan seni nasyid nusantara tidak terlepas dari tuntutan dan tanggungjawab berdakwah pada jalan Allah . Adalah menjadi tanggungjawab ahli seni untuk terus mengajak manusia kepada kebaikan dengan tidak melupakan etika dan akhlak Islam yang perlu menjadi pakaian diri sepanjang masa agar nasyid mampu menjadi agen yang mengajak manusia kepada amar ma’ruf dan nahi mungkar.

5. KESIMPULAN

Usaha memartabatkan nasyid secara profesional dalam bentuk program pembelajaran secara konsisten amat perlu dalam usaha melahirkan seniman nasyid yang berkaliber.

Penggiat nasyid nusantara harus mengembeleng tenaga dalam mewujudkan institusi nasyid yang boleh melahirkan seniman nasyid seperti Prof Ahmad Baqi yang mampu menghasilkan lirik lagu yang memberi kesan dalam mendidik jiwa berteraskan ajaran Islam .

Olahan kreatif penulisan lirik mestilah tidak meninggalkan tujuan asal nasyid, iaitu untuk berdakwah dan memberi tarbiah Islamiah kepada pendengar samada secara langsung atau secara tidak langsung.

Penulisan berkaitan sejarah nasyid nusantara wajar diperbanyakkan dalam mendorong peminat dan pengamal nasyid mampu memasyarakatkan dan meneruskan kegiatan seni nasyid untuk generasi akan datang.

Semoga perkongsian maklumat ini mampu membuka minda untuk terus memartabatkan nasyid sebagai salah satu medium dakwah masa kini.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar